|
UMUM diketahui, rata-rata pengeluar motosikal di Eropah bijak memberi sentuhan magis ketika mencipta sebuah jentera streetfighter. Bukan suatu perkara mudah untuk merealisasikan idea rekaan tanpa mengambil kira faktor kejuruteraan binaan sesebuah motosikal. Itu cabaran utamanya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peneraju motosikal di Jepun, Kawasaki Heavy Industries Ltd. (KHI) berjaya mencuri perhatian global apabila membuktikan kemampuan pasukan perekanya untuk meneroka segmen streetfighter.
Streetfighter merujuk kepada sebuah model kategori motosikal sport yang tidak didatangkan bersama komponen fairing. Ada yang mendakwa istilah itu lahir daripada tindakan penunggang muda di Eropah yang melucutkan komponen fairing untuk mengelakkan kerosakan dan meminimumkan kos baik pulih motosikal jika terjatuh.
Falsafah Sugomi
Trend itu kemudiannya dikatakan menambat hati sebilangan besar pengeluar motosikal khususnya di Eropah dan Jepun sekitar tahun 1980-an untuk mencipta jentera streetfighter bagi mengisi segmen baharu itu. Keluarga streetfighter KHI diwakili oleh siri Z.
Bagi mengekalkan momentum persaingan, KHI tampil dengan model Kawasaki Z1000 baharu. Model yang dibangunkan berasaskan falsafah sugomi itu pernah dipamerkan sewaktu
Pameran Motor Milan (EICMA) di Itali, November lalu.
Secara ringkas, falsafah sugomi menyentuh keseluruhan aspek gayaan dan pendekatan terperinci kejuruteraan motosikal untuk dinikmati sepenuhnya oleh seseorang penunggang. Sebenarnya, pendekatan itu mula diaplikasi pada model Z800 sebelum ini.
Bagi Z1000 2014, penampilannya nyata radikal hasil pengenaan garis badan tanpa menghilangkan warisan seni bina siri Z. Rupa paras Z1000 kelihatan seperti sebuah motosikal anime Jepun.
Dalam laman motorcyclenews.com, Ketua Pereka Motosikal Kawasaki, Keishi Fukumoto berkata, pihaknya mengambil pendekatan gayaan baharu Z1000 untuk menjadikan sebuah jentera yang mempamerkan elemen ghairah dan emosi sugomi yang menarik perhatian para penunggang.
“Dari perspektif gayaan, kami mengetengahkan paras rupa dan perasaan pemangsa yang menanti masa untuk menerkam pada masa sama mengadun kejuruteraan semula berprestasi bagi mengukuhkan posisi Z1000 sebagai peneraju dalam kelas tersendiri," katanya.
Jentera satu liter itu nyata memberi tamparan hebat kepada beberapa pesaing streetfighter terkemuka termasuk Ducati Streetfighter, KTM 1290 Super Duke R, Aprilia Tuono V4 dan MV Agusta Rivale.
Kawasaki Z1000 2014 masih menggunakan khidmat enjin empat silinder sebaris tetapi telah menerima beberapa modifikasi baharu. Antaranya perubahan komponen aci sesondol untuk melonjakkan hamburan tork pada pusingan enjin (RPM) peringkat rendah hingga sederhana.
Talaan Semulan
Sistem penyaluran udara ke dalam kotak angin ditingkatkan dengan adanya bolong kemasukan bersama penapis udara baharu yang dipasang pada bahagian hadapan jentera. Ia bertujuan memastikan saluran udara kekal stabil pada RPM tinggi.
Jurutera Kawasaki memasang empat unit pendikit badan Keihin 38 milimeter untuk menyuntik bahan api ke dalam setiap kebuk pembakaran. Pembaharuan lain dilakukan ialah penalaan semula tetapan unit kawalan enjin (ECU) dan sistem gear Z1000.
Keseluruhan rangkaian kuasa Z1000 dilindungi oleh kerangka aluminium yang kelihatan hampir sama seperti yang terdapat pada model Ninja ZX-10R. Kerangka itu telah ditambah dengan alas getah (mounting) untuk mengurangkan kesan getaran enjin sewaktu tunggangan.
Keupayaan memberhentikan motosikal juga diperbaharui dengan aplikasi angkup monoblok Tokico yang diperbuat daripada aluminium. Ia menawarkan respons mencengkam piring brek cakera yang lebih baik sewaktu tunggangan agresif.
Edisi Z1000 2014 juga didatangkan dengan unit fork baharu iaitu Showa SFF-BP (Separate Function Fork - Big Piston). Batang fork sebelah kiri adalah untuk menyelaras kadar prabeban manakala kadar redaman omboh boleh diubah menerusi fork bahagian kanan.
Lengan ayun pula bersambung dengan sistem penyerap hentak tunggal gas/ minyak yang di posisi sedikit mendatar untuk membantu meningkatkan keseimbangan dan kestabilan jentera.
|
Buat julung kalinya, KHI menggunakan rekaan set lampu utama jenis LED tanpa pemantul bagi model Z1000. Perumah lampu belakang juga mengaplikasi lampu LED untuk pencahayaan lebih terang.
Model Z1000 2014 yang diimport dari Jepun bakal diperkenalkan oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. ke pasaran Malaysia dalam tempoh terdekat.
Bukan itu sahaja, syarikat yang bertanggungjawab untuk pengedaran dan pemasangan produk jenama Jepun itu juga akan memperkenalkan satu lagi model dalam siri Z iaitu Z1000 SX. Nantikan sahaja.
sumber : http://www.kosmo.com.my